Tuesday, July 1, 2008

Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991


Undang-undang mengenai perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia telah digubal seawal tahun 1947 melalui Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak pada 1991.




Walau bagaimanapun, menyedari hakikat bahawa terdapat keperluan untuk mengubah hala tuju konsep perlindungan terhadap kanak-kanak dan juga mengakui bahawa perlunya pembaharuan di dalam undang-undang sejajar dengan perkembangan semasa, maka satu akta yang khusus dan komprehensif mengenai kanak-kanak telah digubal dan diluluskan iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 (disebut Akta 611) dan telah berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2002.

Tujuan utama Akta 611 adalah untuk
menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya.




Antara perkara penting yang diketengahkan oleh Akta 611 adalah tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga dalam memelihara kesejahteraan kanak-kanak, tanggungjawab untuk memaklumkan kes-kes penderaan kanak-kanak, penubuhan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, prosedur perbicaraan, hukuman dan sebagainya.

Monday, June 23, 2008

Petani, Suatu Profesion Mulia



Petani adalah salah satu profesion tertua yang diamalkan oleh manusia. Selepas zaman purba yang nomadik, maka muncul pula zaman pertanian. Ciri-ciri zaman tersebut, menurut sejarawan, adalah manusia hidup dengan mengusahakan cucuk-tanam. Peringkat awal mereka mungkin memetik dan menuai hasil tanaman yang tumbuh meliar, tetapi kemudiannya mulai menanam pokok dan tanaman yang perlu, disekitar rumah dan kawasan petempatan mereka.


Zaman Pertanian (atau disebut Agriculture Age), adalah mata tangga pertama untuk manusia menuju kemajuan dan kehidupan moden, yang mana selepas itu diikuti oleh Zaman Perindustrian, Zaman Teknologi dan Zaman Maklumat. Kini, kita dikatakan berada di Zaman Nano.


Jika mereka ingin makan nasi, maka mereka bercucuk-tanam padi di belakang rumah mereka. Jika mereka perlukan daging kambing atau ayam, maka mereka hanya perlu menangkap ayam dan kambing ternakan mereka, untuk disembelih dan dijadikan lauk-pauk. Ringkasnya, dalam kalimat Arab mereka disebut memiliki ciri-ciri Murabbi (dari akar kata Rabb – yang memelihara, memiliki, menjaga, mengatur kehidupan).


Bilamana kemajuan melanda umat manusia, dan manusia tidak lagi hidup di Zaman Pertanian, maka sifat-sifat dan ciri-ciri Murabbi ini juga turut tercabut daripada jatidiri manusia moden kini. Maka lahirlah kehidupan yang tidak menghiraukan alam, gagal menghargai makhluk lain, tidak bertanggungjawab, rakus, tamak dan perosak terhadap kehidupan, kerana memenuhi kehendak nafsu yang tidak pernah puas.


Kita telah kehilangan sifat-sifat dan ciri-ciri Murabbi yang amat mulia ini.


Apabila petani menyemai benih, hati dan perasaannya penuh dengan pengharapan agar benih yang disemai itu akan tumbuh menjadi pohon yang rimbun. Bagi petani, kemuncak kebahagiaan dan kegembiraan mereka adalah apabila pohon yang ditanam itu, tumbuh subur dan mengeluarkan hasilnya. Buah dan bijirin yang pertama dituai, pastinya mendatangkan kepuasan dan kegembiraan kepada mereka. Oleh itu, adalah satu keperluan untuk kita kembali memahami dan cuba menjejaki sifat-sifat dan ciri-ciri mulia sebagai petani ini. Maka lahirlah masyarakat yang tidak menghargai alam dan persekitarannya.


Guru dan pendidik, adalah insan yang menyemai benih-benih keImanan dan kebaikan pada diri murid dan anak-didiknya. Kebaikan, ilmu dan ajaran itu perlu disuburkan dan dikembangkan, sehingga akhirnya membuahkan hasil di kemudian hari. Maka jelas di sini wujud kesamaan antara sifat guru dan pendidik, dengan sang petani, dalam konteks menyemai dan menumbuhkan jiwa dan kelimuan seseorang. Elemen adab dan akhlaq yang perlu disempurnakan selepas itu, memerlukan seorang Muaddib atau guru yang mursyid untuk memimpin manusia ke jalan yang benar.


Maka dengan rumusan ini, kita menyeru agar disuburkan kembali sifat-sifat dan ciri-ciri mulia petani ini, di dalam kehidupan pada hari ini. Manusia perlu diasuh agar menghargai segala proses, langkah-langkah dan usaha yang sukar, untuk menumbuhkan sebuah pohon yang berbuah. Maka, pohon Iman yang telah kering, gersang dan hampir mati dalam kehidupan moden kini, perlu disuburkan kembali oleh mereka yang memiliki sifat-sifat dan ciri-ciri Murabbi.